mutakhir

Pemandu lori maut, tiga lagi parah

Oleh Azahar Hashim

PEMANDU lori maut akibat tersepit selepas kenderaannya bertembung dengan van di Jalan Jalan Malau, Labu Besar, dekat Kulim, petang semalam.

Dalam kejadian pada jam 5.18 petang itu, mangsa, Lee Kim Owing, 58, berasal Taman Kelisa Ria, Sungai Petani, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah pada kepala dan badan.

Kejadian turut menyebabkan tiga parah, iaitu pemandu van dan dua penumpang kenderaan itu, masing-masing berusia 39 dan 63 tahun.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, siasatan awal mendapati pemandu lori berkenaan sedang menghala ke Labu Besar sebelum bertembung sebuah van.

Katanya, van dipandu seorang lelaki tempatan dan membawa tiga pekerja dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan.

“Pemandu berusia 42 tahun itu pada mulanya terbabas ke bahu jalan, sebelum bertindak memusingkan kenderaan untuk masuk semula ke laluan.

“Pemandu lori yang gagal mengelak van kemudian merempuh kenderaan itu mengakibatkan lori terbalik dan mangsa tersepit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Nasir berkata, seorang lagi penumpang cedera ringan.

“Polis terpaksa menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Kulim Hi Tech bagi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Mangsa yang cedera kemudian dibawa ke Hospital Kulim untuk rawatan lanjut dan mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Disiarkan pada: August 4, 2018 @ 10:25am
d