mutakhir

Mohd Zawawi mengundi di SK Jalan Kebun [METROTV]

Oleh BERNAMA

CALON Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis daripada PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, antara pengundi berdaftar di kawasan itu, menunaikan tanggungjawab mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Kebun, di Shah Alam.

Pengetua Maahad Tahfiz Al Fateh, Jalan Kebun itu tiba pada 9 pagi, dengan ditemani isteri, Hazlina Abdul Razak yang turut mengundi di pusat mengundi sama.

Pusat pengundian di SK Jalan Kebun itu antara 19 pusat mengundi yang dibuka mulai 8 pagi ini bagi membolehkan 51,217 pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka.

Cuaca yang baik dan cerah pagi ini memudahkan para pengundi untuk keluar awal.

Tiada pengundi awal bagi PRK DUN Sungai Kandis.

PRK, yang pertama selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei lalu, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Zawawi, yang juga Setiausaha Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA) PKR Pusat, calon BN Datuk Lokman Noor Adam, yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO, dan calon Bebas, K Murthy

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei daripada PKR, pada 2 Julai akibat kanser limfoma.

Mohd Zawawi, 48, yang ditemui pemberita, menzahirkan keyakinan untuk menyandang kerusi berkenaan hasil jelajah kempen selama 14 hari yang menerima maklum balas positif daripada pengundi.

“Hari ini menjadi sejarah dalam hidup saya apabila selepas 30 tahun, pertama kali mengundi di sekolah lama saya dengan mendapat liputan daripada pelbagai media.

“Saya mohon semua pengundi berdaftar di DUN Sungai Kandis supaya keluar awal tunaikan tanggungjawab dan hak anda,” katanya.

Sementara Hazlina, 48, menyatakan kesediaannya untuk terus 'meminjamkan' suaminya kepada rakyat jika diberi mandat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis, hari ini.

Beliau berkata, pengalaman hampir 25 tahun bersama suami dalam kerja kemasyarakatan dijadikan landasan oleh Mohd Zawawi untuk beralih arah ke bidang politik bagi terus menyantuni rakyat.

Selain Mohd Zawawi dan Hazlina, anak sulung pasangan itu Abdullah Faizi, 23, turut mengundi di pusat mengundi sama.

Dalam pada itu, Lokman Noor berharap keputusan pilihan raya kecil hari ini akan memihak kepada BN.

"Seperti yang kita ketahui, rata-rata pengundi di sini adalah mereka yang menyokong Pakatan Harapan dan saya lihat pengundi seolah-olah tidak teruja untuk mengundi berikutan kehadiran pengundi di beberapa pusat mengundi agak perlahan," katanya ketika meninjau pusat mengundi di Sekolah Rendah Agama Sungai Kandis, Jalan Sungai Kandis.

Menurut Lokman Noor, sekiranya keadaan itu berlaku sehingga di saat-saat akhir pusat pengundian ditutup, pihaknya optimis akan memenangi pilihan raya kecil berkenaan.

“Apa pun ini hanyalah ramalan saya, apa sahaja kemungkinan boleh berlaku,” katanya.

Disiarkan pada: August 4, 2018 @ 10:58am
d