mutakhir

Terpulanglah kepada ahli PAS

Oleh Dawn Chan dan Faliq Lajim

AHLI PAS berhak untuk mengundi mana-mana calon yang dirasakan layak dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis.

Calon PKR Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, berkata, apa yang disuarakan pimpinan atasan PAS yang menyeru ahli mereka mengundi Barisan Nasional (BN) adalah pandangan.

Beliau berkata, dalam sistem demokrasi, siapa saja boleh beri pandangan dan sokongan, namun pengundi berhak memilih calon yang difikirkan sesuai untuk membawa suara mereka ke Dewan.

“Dalam sistem demokrasi saya percaya setiap pengundi, setiap warganegara mempunyai pandangan dan mereka boleh bebas untuk pemimpin.

“Namun, saya kira kerjasama ini adalah satu tindakan yang jelas, yang sebelum ini kita lihat seolah-olah mereka menafikan ada hubungan kerjasama.

“Dalam PRK Sungai Kandis ini, jelas mereka sebenarnya sudah mempunyai pakatan dan hubungan untuk membina satu blok,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Kebun, Shah Alam.

Ketika ditanya adakah kerjasama PAS dan UMNO akan menjejaskan jumlah undi beliau pada hari ini, Mohd Zawawi berkata, ia perlu dilihat apabila selesai kiraan undi nanti.

“Kita tunggu dan lihat. Saya yakin dengan trend perkembangan yang berlaku mutakhir ini kerana pengundi di bawah semakin matang menilai.

“Jadi saya harap keputusan seperti mana kami jangkakan,” katanya.

PRK Sungai Kandis diadakan selepas kematian wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Pertembungan tiga penjuru itu turut membabitkan Datuk Lokman Noor Adam dari BN dan calon Bebas, K Murthy.

Pada PRU-14, DUN Sungai Kandis menyaksikan pertembungan empat penjuru dengan Mat Shuhaimi mempertahankan kerusinya apabila mengalahkan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari; calon PAS, Mohd Yusof Abdullah; dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin.

Mat Shuhaimi meraih 23,998 undi dengan majoriti 12,480 undi, mengalahkan Kamaruzzaman (11,518 undi), Mohd Yusof (7,573 undi) dan Hanafiah (76 undi).

Disiarkan pada: August 4, 2018 @ 11:31am
d