mutakhir

Hanya 22 peratus sudah mengundi

Oleh Khairul Azran Hussin

HANYA 22 peratus daripada jumlah keseluruhan 51,217 pengundi keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, sehingga jam 11 pagi ini.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Othman Mahmood berkata, jumlah itu sangat rendah serta jauh daripada sasaran peratusan keluar mengundi sebanyak 80 peratus.

“Apa pun SPR mengharapkan bilangan akan meningkat petang ini. Mungkin ramai yang bekerja atau ada urusan penting pagi ini. Jadi kebanyakan mereka akan mengundi petang ini.

“Sebanyak 19 pusat mengundi dengan 109 saluran dibuka bermula jam 8 pagi hingga 5.30 petang. Bagaimanapun kita berharap jangan tunggu sampai petang,” katanya

Beliau ditemui selepas meninjau proses pengundian di Sekolah Menengah Jalan Kebun, Seksyen 32, Shah Alam, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Pengurus Pilihan Raya yang juga Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis menyaksikan pertambahan seramai 417 pengundi baharu menjadikan jumlah keseluruhan 51,217 pengundi.

Seramai tiga calon akan bertanding pada PRK DUN Sungai Kandis iaitu Datuk Lokman Noor Adam dari Barisan Nasional (BN), calon Bebas, K Murthy dan Mohd Zawawi Ahmad Mughni yang mewakili PKR.

Disiarkan pada: August 4, 2018 @ 1:00pm
d