mutakhir

'Jodoh... kau di mana?'

Oleh Mohamed Farid Noh

SEORANG tukang urut orang kurang upaya (OKU) di Taman Maju, di Batu Pahat, mencari jodoh dengan ‘mengiklankan’ niatnya itu dalam ruangan komen beberapa laman sosial Facebook (FB) popular, sejak bulan lalu.

Mohamad Hafiz Ab Rahman, 28, memuat turun aplikasi khas untuk OKU cacat penglihatan pada telefon bimbitnya yang berfungsi mengeluarkan suara membaca posting dalam FB ataupun komen netizen, sekali gus memudahkan beliau berinteraksi dalam usaha itu.

Dia berkata, langkah itu diambil kerana berpendapat tiada cara lain untuk mencari bakal isteri berikutan kekurangan dirinya yang buta sejak lahir dan bermasalah pendengaran.

“Saya ikhlas mencari jodoh dan bukan sengaja mahu menarik perhatian.

“Selain buta, saya juga mengalami masalah pendengaran sejak 2012. Kekurangan diri ini menyebabkan saya tiada cara lain tetapi berharap akan menemui jodoh.

“Walaupun ada netizen yang mempersenda tindakan itu sebagai terdesak, saya menganggap ia gurauan dan tidak pernah terasa hati,” katanya ketika ditemui di tempat kerjanya di Taman Maju.

Pada mulanya, netizen secara umum menganggap tindakan Mohamad Hafiz itu sebagai gurauan, namun ada yang mula mengecam apabila dia sering ‘mengiklankan’ niatnya berkahwin dalam ruangan komen FB popular.

Bagaimanapun, ramai juga netizen yang memberi sokongan dan mendoakannya bertemu jodoh, selain menyelar pihak yang mempersendakan niatnya itu.

Ditanya mengenai wanita idaman pula, Mohamad Hafiz berkata, dia tiada menetapkan sebarang ciri khusus, namun berharap bakal isteri mampu melihat walaupun mungkin tidak sepenuhnya, selain sanggup menerima kekurangan dirinya.

“Saya suka berjalan. Justeru, bakal isteri jika boleh sekurang-kurang mampu melihat sedikit dan tidak cacat penglihatan sepenuhnya supaya dapat membawa saya bersiar-siar.

“Saya menjadi tukang urut sejak lapan tahun lalu selepas menamatkan pengajian dalam bidang kemahiran itu di kolej komuniti di Kulai. Adakalanya terasa sunyi dan hanya menghiburkan hati berkongsi cerita dengan pelanggan yang datang berurut,” katanya.

Disiarkan pada: August 4, 2018 @ 1:47pm
d