mutakhir

'Ini baru betul durian runtuh'

Oleh Faliq Lajim

HARI mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis dianggap sebagai 'durian runtuh' bagi seorang peniaga durian apabila berjaya menjual lebih 300 kilogram (kg) raja buah itu, dalam tempoh tiga jam.

Emy Sasha Shabuddin, 33, berkata, setakat ini, dia sudah menjual sebanyak 350 kg durian selepas mula berniaga jam 9 pagi tadi.

“Alhamdulillah, hari pengundian hari ini, durian saya sudah banyak dijual. Sejak saya buka khemah jam 9 pagi tadi orang ramai berpusu-pusu datang.

“Mungkin rezeki PRK kali ini. Sebelum ini, memang sudah dua minggu buka gerai di sini cuma hari ini sambutan lain macam sikit.

“Mana-mana yang datang mengundi, mereka sempat singgah beli durian selepas jari mereka sudah berdakwat," katanya ketika ditemui di gerainya di bersebelahan Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Kebun, Shah Alam.

Emy Sasha berkata, durian yang dijual itu dibawa khas dari Raub, Pahang dan dijual dalam lingkungan harga RM6 hingga RM18 sekilogram.

Dia berkata, lazimnya durian yang dijual akan habis sekitar jam 1 pagi.

“Namun, memandangkan banyak durian yang sudah dijual mungkin kami akan tutup lebih awal. Sekarang pun dah nak habis tetapi ada satu lagi lori dalam perjalanan ke sini," katanya.

Dia yang juga pengundi di DUN Sungai Kandis berkata akan mengundi di SK Jalan Kebun.

“Nasib baik tempat mengundi saya dekat dengan tempat gerai yang saya buka. Boleh saya lari sebentar untuk menunaikan tanggungjawab,” katanya.

Disiarkan pada: August 4, 2018 @ 2:04pm
d