mutakhir

Tukang masak dicekup dengan syabu

Oleh Rosliza Mohamed

DUA tukang masak ditahan bersama dadah disyaki syabu seberat 20.4 gram yang dianggarkan bernilai RM1,428 di tepi jalan Padang Tembak, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1 pagi itu, dua lelaki berusia 34 serta 49 tahun ditahan di dalam kereta Hyundai Getz dan mereka dibawa ke balai polis berhampiran untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, hasil maklumat awam pihaknya menyerbu sebuah kereta di tepi jalan dan mengarahkan suspek yang berada dalam kenderaan itu keluar.

“Pemeriksaan terhadap badan penumpang menemui satu beg silang berisi tujuh peket plastik berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.

“Seterusnya pemeriksaan dalam kereta menemui satu peket plastik cerah juga berisi ketulan kristal disyaki syabu di atas pemijak kaki bahagian penumpang hadapan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Ujian saringan terhadap suspek juga positif dadah. Kita masih menjalankan siasatan lanjut berhubung dadah yang diperolehi itu,” katanya.

Disiarkan pada: August 4, 2018 @ 4:21pm
d