mutakhir

Gaji minimum dimuktamadkan Jumaat [METROTV]

Oleh Shaarani Ismail

KERAJAAN akan memuktamadkan kadar permulaan gaji minimum dalam sektor swasta selepas Mesyuarat Kabinet pada Jumaat ini.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran berkata, kadar permulaan ditetapkan sebelum gaji minimum itu dinaikkan berperingkat sehingga mencapai RM1,500 sebulan dalam tempoh lima tahun.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan akan menetapkan satu kadar permulaan seragam bagi gaji minimum sektor swasta di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.

“Penetapan gaji minimum dari segi undang-undang perlu disemak setiap dua tahun dan kita sudah menyatakan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) bahawa jumlahnya akan ditingkatkan kepada RM1,500 dalam tempoh lima tahun.

“Yang menjadi keutamaan kerajaan ketika ini ialah menyeragamkan terlebih dahulu kadar permulaan gaji minimum antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak. Kita mahu melaksanakan perkara itu dalam tempoh 100 hari ini.

“Saya rasa perkara itu (menyeragamkan kadar permulaan gaji minimum) akan dapat dijayakan. Pada Jumaat ini, saya akan membawa perkara itu ke Kabinet. Semoga akan ada berita baik menanti kita semua,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada 20 penerima di Kampung Tawas dan Kampung Kepayang, di Ipoh, hari ini.

Kulasegaran berkata, ketika ini, kadar gaji minimum di Sabah dan Sarawak ialah sekitar RM800 hingga RM920, manakala di Semenanjung pula RM1,000 sebulan.

Beliau berkata, adalah mustahil untuk majikan terus menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 secara sekali gus kerana ia akan memberi implikasi besar terhadap pihak berkenaan.

“Jika kenaikan itu dibuat sekali gus, mungkin ada banyak syarikat yang akan jatuh muflis atau mengurangkan pendapatan mereka sehingga perniagaan tidak boleh beroperasi. Lebih-lebih lagi, bagi syarikat kecil yang mungkin akan menghadapi masalah kewangan.

“Justeru, peningkatan gaji minimum secara berperingkat hingga tempoh lima tahun adalah sebahagian usaha yang akan dilaksanakan supaya tidak menyusahkan majikan,” katanya.

Disiarkan pada: August 4, 2018 @ 4:43pm
d