mutakhir

Remaja Qatar nyaris dirogol

Oleh Hadzlihady Hassan

REMAJA perempuan warga Qatar nyaris dirogol ‘budak pantai’ di Teluk Bahang, Balik Pulau, Isnin lalu.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, mangsa yang berusia 19 tahun pada mulanya bersama keluarga singgah di kedai makan berhampiran pantai terbabit.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, mangsa kemudian bersiar-siar seorang diri dan mengambil gambar di persisiran pantai sebelum terlihat perkhidmatan menunggang kuda yang ditawarkan di kawasan terbabit.

Menurutnya, mangsa yang tertarik kemudian bertanya kepada dua lelaki tidak dikenali yang bertopeng ninja berhubung khidmat menunggang kuda terbabit.

"Seorang daripada lelaki itu menyatakan khidmat menunggang kuda itu memang ada ditawarkan dan membawa mangsa berjalan ke laluan hutan berhampiran pantai berkenaan.

"Bagaimanapun, sejurus tiba di pertengahan jalan, lelaki terbabit bertindak agresif dengan memegang tangan dan menarik mangsa hingga terjatuh," katanya.

Anbalagan berkata, suspek kemudian bertindak rakus membuka seluar mangsa hingga ke paras lutut dan cuba merogol remaja terbabit.

"Suspek cuba merogol mangsa tetapi gagal sebelum terus melarikan diri.

"Susulan daripada itu, manga kemudian membuat laporan polis dan kita berjaya menahan tiga suspek berusia 28 hingga 43 pada hari sama di sekitar kawasan kejadian," katanya.

Menurutnya, suspek utama dalam kes ini adalah lelaki Rohingya berusia 31 tahun yang bekerja sebagai budak pantai dan dia akan dituduh di Mahkamah Majistret Balik Pulau Isnin ini mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: August 4, 2018 @ 9:01pm
d