mutakhir

SPR tak puas hati peratusan mengundi rendah

Oleh Wartawan NSTP

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) tidak puas hati dengan kadar peratusan keluar mengundi yang disifatkan antara terendah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood berkata, setakat ini jumlah peratusan keluar mengundi hanya 49.4 peratus.

“Proses pengundian berjalan lancar, namun saya tidak berpuas hati dengan jumlah peratusan keluar mengundi sebanyak 49.4 peratus, antara terendah.

“Sebelum ini saya umumkan 49.8 tapi selepas menyemak secara rasmi ialah 49.4 peratus. Ini yang kedua terendah selepas PRK DUN Penanti pada 2009,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pusat penjumlahan undi PRK DUN Sungai Kandis di Dewan Besar Tanjong MBSA, Seksyen 19 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, PRK DUN Penanti pada 2009 masih mencatatkan jumlah peratusan keluar mengundi terendah iaitu sebanyak 46 peratus manakala PRK DUN Cempaka pada 2015, sebanyak 55 peratus.

“Banyak faktor yang menyebabkan jumlah peratusan ini menurun berbanding Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRK-14). Saya tidak berpuas hati kerana SPR sudah melakukan pelbagai usaha supaya pengundi keluar mengundi.

“Antara yang usaha yang dilakukan termasuk memanjangkan tempoh mengundi, menempatkan kenderaan buggy untuk warga tua,dan menambah petak laluan pengundi” katanya.

Disiarkan pada: August 4, 2018 @ 10:57pm
d