mutakhir

Budak dilanggar, digilis lori sampah

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

KANAK-KANAK sedang bermain basikal maut digilis lori sampah di Jalan Kampung Padang Balang, Sentul, 4.30 petang, hari ini.

Mangsa, Mohammad Haekal Rizal Abdullah, 8, yang juga murid darjah dua Sekolah Rendah Taman Koperasi Polis Fasa 2, Batu Caves meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, ketika kejadian mangsa sedang menunggang basikal sebelum dilanggar lori sampah yang datang dari arah bertentangan.

Katanya, sebaik dilanggar, mangsa terus terjatuh dan digilis lori berkenaan.

"Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku di kawasan laluan kampung yang sempit dan hanya mempunyai satu lorong sahaja.

"Ketika kejadian, kanak-kanak berkenaan sedang menunggang basikal dan lori sampah berkenaan pula datang dari arah bertentangan sebelum melanggar dan menggilis mangsa," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Zulkefly, siasatan awal mendapati kawasan berkenaan tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) dan sehingga kini juga tiada saksi tampil memberi keterangan.

"Sehingga kini, siasatan lanjut masih dijalankan bagi menentukan punca sebenar kemalangan berkenaan.

"Namun, buat masa ini, kes itu kita siasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menyebabkan kematian," katanya.

Disiarkan pada: August 4, 2018 @ 11:40pm
d