mutakhir

Menangis konon!

Oleh Junaidi Ladjana

PELAJAR lelaki berusia 17 tahun menangis mengenangkan hukuman yang bakal dihadapinya selepas ditahan melakukan aksi berbahaya atau ‘wheelie’ dalam Ops Khas Samseng Jalanan di Jalan Putatan, Penampang, hari ini.

Difahamkan, remaja terbabit tiba-tiba menangis apabila diarahkan membawa motosikalnya ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Penampang.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Sabah, Deputi Superintendan Parum Niot berkata, pelajar terbabit pernah disaman sebanyak dua kali atas kesalahan menunggang motosikal tanpa lesen sebelum ini.

Selain pelajar terbabit, turut ditahan empat lagi lelaki berusia 18 hingga 24 tahun kerana melakukan aksi sama selepas polis trafik menjalankan risikan di Jalan Putatan, mengesan sekumpulan lelaki melakukan aksi berbahaya itu.

Pelajar tingkatan lima di sekolah di daerah itu, dikesan beberapa kali melakukan aksi Wheelie serta melanggar lampu isyarat tanpa menyedari perbuatan itu bersama rakannya diperhatikan polis trafik.

Menyedari kehadiran polis, dia bersama seorang rakannya berhenti di hadapan kedai sebelum ditahan, manakala rakannya cuba melarikan diri tetapi gagal.

Tiga lagi rakan remaja terbabit yang turut melakukan aksi sama cuba mengaburi anggota polis dengan menjamu selera di restoran di Putatan, namun berjaya ditahan.

Kelima-lima suspek kemudian diarahkan membawa motosikal masing-masing ke IPD Penampang sebelum remaja terbabit tiba-tiba menangis bimbang akan hukuman yang akan dikenakan kepadanya.

Parum berkata, pemeriksaan motosikal mereka didapati banyak yang diubah suai antara ekzos, enjin dan tayar.

"Dalam operasi bermula 1 pagi hingga 4 pagi itu juga, polis mengeluarkan 81 keping saman atas pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen dan cukai jalan tamat tempoh," katanya.

Tambah beliau, semua mereka ditahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya.

Terdahulu, operasi khas ini membabitkan seramai tujuh pegawai dan 38 anggota dari polis trafik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah, IPD Kota Kinabalu dan Penampang.

Disiarkan pada: August 5, 2018 @ 9:09am
d