mutakhir

Lelaki maut rempuh treler

Oleh Amrullah Abdul Karim

LELAKI berusia 23 tahun maut selepas kereta Proton Wira dinaiki merempuh treler jenis Hino di Jalan Bukit Beruntung-Sungai Choh dekat Taman Bukit Teratai, Bukit Beruntung, hari ini.

Kejadian 6.30 pagi itu dipercayai berlaku ketika mangsa, Chua Kok Wei yang memandu kereta bersendirian, dalam perjalanan dari arah Bukit Beruntung menghala ke Rawang.

Difahamkan, kereta mangsa hilang kawalan dan terbabas lalu melanggar treler terbabit dari arah bertentangan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Kamil Hamadan berkata, pihaknya tiba di lokasi kejadian pada 7.13 pagi bersama 10 anggota selepas menerima panggilan kecemasan 6.42 pagi tadi.

"Anggota bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

"Kesan rempuhan yang kuat menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian.

"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemandu treler dikenali sebagai Mohammad Sophian, 30, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Disiarkan pada: August 5, 2018 @ 9:49am
d