mutakhir

Butik Adidas terbakar

Oleh Zaid Salim

“SAYA cuba masuk tapi terpaksa keluar semula kerana asap terlalu tebal," kata pemilik butik pakaian sukan Adidas, di Jalan Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, yang terbakar 10.30 malam tadi.

Lelaki dikenali sebagai Tan berusia lingkungan 50-an berkata, tidak ada pekerja di dalam premis itu kerana ketika kejadian premis terbabit sudah menutup perniagaan pada 10 malam.

Katanya, dia tiba di rumah 10.10 malam sebelum dikejutkan dengan kejadian itu.

"Sebaik menerima panggilan, saya bergegas ke kedai dan mendapati kebakaran ketika itu hanya membabitkan bilik elektrik, kemudian saya cuba masuk ke kedai untuk membawa keluar pakaian dan kasut di ruang niaga.

"Bagaimanapun, asap tebal menyebabkan saya terpaksa keluar semula kerana hampir sesak nafas," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Tan yang masih terkejut dengan kejadian itu enggan mengulas lanjut anggaran kerugian yang dialami.

"Minta maaf, saya tidak tahu lagi berapa banyak kerugian dan punca kebakaran.

"Sama ada disebabkan litar pintas atau sebaliknya, saya tidak tahu tetapi kemusnahan bangunan banyak membabitkan ruang bilik elektrik," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Kota, Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Abdullah Zawawi bin Mohamed berkata, dua jentera bomba dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu dan Jalan Kota, di sini, bersama 17 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memadamkan kebakaran.

"Kita mengambil masa selama sembilan minit bagi memadamkan kebakaran yang membabitkan kemusnahan sebanyak 60 peratus," katanya.

Beliau berkata, pihaknya belum dapat memastikan sama ada kebakaran disebabkan litar pintas atau sebaliknya.

"Siasatan akan dijalankan bahagian forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi mencari punca kebakaran dan jumlah kerugian," katanya.

Disiarkan pada: August 5, 2018 @ 9:54am
d