mutakhir

Tokan dadah kantoi

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

PENGANGGUR terkedu selepas aktiviti pengedaran dadah yang dilakukan sejak beberapa beberapa bulan lalu dihidu polis, kelmarin.

Lelaki berusia 25 tahun itu ditahan di depan pasar raya di Jalan Tun Ahmad Adruce, Kuching, 4.30 petang.

Serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak hasil risikan sejak beberapa minggu lalu.

Ketua JSJN Sarawak, Superintendan Sahar Abdul Latif berkata, hasil serbuan itu, polis berjaya merampas ganja seberat 901 gram dianggarkan bernilai RM18,020.

Menurutnya, polis menahan suspek selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

“Berdasarkan soal siasat, suspek membawa pasukan serbuan ke rumahnya di Kampung Tupong Batu di Petra Jaya pada 6.30 petang.

“Pemeriksaan lanjut di rumah berkenaan menemui ganja mampat yang disorokkan di atas siling rumah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sahar berkata, pasukan serbuan juga menemui ganja yang disorokkan di bawah tilam dan beg silang di dalam bilik tidurnya.

Beliau berkata, suspek mengakui menjadi pengedar dadah di daerah ini sejak pertengahan tahun lalu.

“Suspek menjalankan aktiviti haram itu secara kecil-kecilan bagi mengelak dihidu pihak berkuasa.

“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Tambahnya, ujian air kencing mendapati suspek positif dadah dan kini direman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, polis percaya dengan penahanan suspek satu lagi sindiket pengedaran dadah di daerah ini berjaya ditumpaskan.

Disiarkan pada: August 5, 2018 @ 12:04pm
d