mutakhir

Cemas seketika kayak hanyut

Oleh Junaidi Ladjana

KEGEMBIRAAN 18 peserta berkayak bertukar cemas apabila mereka dihanyutkan ombak dan angin kencang dalam kejadian di Pulau Labuan, tengah hari ini.

Dalam kejadian 12.20 tengah hari itu, 18 peserta membabitkan sembilan kayak dikatakan sedang berkayak di sekitar Pulau Labuan sebelum berlaku angin kencang secara tiba-tiba.

Situasi itu menyebabkan semua kayak hanyut di antara Pulau Daat dan Pulau Papan.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labuan berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pada 12.23 tengah hari, seramai 10 anggota bomba dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba menggunakan bot digerakkan ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat mangsa kayak yang dilaporkan hanyut akibat ombak dan angin kencang.

“Operasi menyelamat turut dibantu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Labuan dan Pasukan Polis Marin (PPM) Labuan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau bekata, 18 individu terbabit ditemui selamat di perairan Pulau Daat dan Pulau Papan.

Beliau berkata, bot pasukan bomba, Maritim Malaysia dan PPM Labuan mengiringi semua peserta kayak ke Port Labuan.

“Semua mangsa selamat dan tiada sebarang kecederaan,” katanya.

Difahamkan, kelajuan angin ketika kejadian 40 hingga 50 kilometer sejam (kmsj) manakala ombak setinggi 2.5 hingga 3.5 meter.

Disiarkan pada: August 5, 2018 @ 10:19pm
d