mutakhir

Terjun sungai pun tak boleh lepas

Oleh Junaidi Ladjana

POLIS Papar menahan 47 individu atas kesalahan dadah dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dalam Op Sarang Khas Bersepadu di sekitar Skim Penempatan Kinarut, Papar, semalam.

Operasi bermula pada 12.30 tengah malam hingga 5 pagi semalam diketuai Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Ladamah Sulaiman bersama 12 pegawai dan 67 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah.

Ladamah berkata, daripada 47 tangkapan itu, seramai 31 individu ditahan kerana terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

“Mengikut pecahan, 18 daripadanya adalah warga tempatan manakala 13 warga asing berusia 22 hingga 50 tahun.

“Polis turut merampas dadah jenis syabu seberat 46.45 gram,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, semua tangkapan dibawa ke Dewan Taman Pantai Lok Kawi untuk dokumentasi dan ujian saringan air kencing dan didapati 31 individu itu positif dadah jenis syabu.

“Selain itu, polis menahan 16 individu disyaki pendatang asing tanpa izin (Pati) kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri sah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya.

Sehubungan itu, Ladamah berkata, Op Sarang Khas Bersepadu ini adalah antara inisiatif dalam pencegahan jenayah, sekali gus membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah di daerah ini.

Pelbagai gelagat penagih dadah dan Pati terbabit dapat disaksikan termasuk ada yang terjun ke dalam sungai, namun tiada yang terlepas apabila kawasan berkenaan sudah dikepung.

Disiarkan pada: August 5, 2018 @ 10:31pm
d