mutakhir

Empat didakwa kes AMLA RM32 juta

Oleh Wartawan NSTP

PAGI ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mendakwa empat individu atas pertuduhan pengubahan wang haram bernilai lebih RM32 juta.

Ia membabitkan bekas pegawai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pengarah syarikat swasta, bagaimanapun maklumat individu terbabit hanya akan diketahui selepas mereka didakwa.

Keempat-empat mereka akan didakwa mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Mereka akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur pada 8.30 pagi ini.

Sementara itu, kes membabitkan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang digantung perlembagaannya berkuat kuasa 28 Mei lalu akan disebut semula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pada 6 Julai lalu, sembilan Ahli Jemaah NAFAS mengemukakan permohonan kebenaran semakan kehakiman melalui Firma Guaman Haniff Khatri.

Mereka mencabar keputusan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang menggantung operasi pengurusan pertubuhan itu.

Sembilan individu itu ialah Sylvester Entri Anak Muran, Mohd Nazri Abdullah, Mustaffar Kamal Ab Hamid, Ali Shikh Ahmad, Ibrahim Jahaya; Abd Lateh Mohd Saman; Ramli Norani, Ismail Omar dan Nazilah Abd Latif.

Semua mereka menamakan Pendaftar Pertubuhan Peladang, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub dan kerajaan Malaysia sebagai responden.

Disiarkan pada: August 6, 2018 @ 7:00am
d