mutakhir

Ajal dua rakan karib [METROTV]

Oleh Amrullah Abdul Karim

DUA rakan karib maut selepas motosikal dinaiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 430.7 Lebuh Raya Utara Selatan arah Selatan dekat susur masuk Plaza Tol Bukit Beruntung, Bukit Beruntung, jam 2 pagi tadi.

Penunggang, Alif Mustaqim Azizuddin, 16, dan pembonceng, Muhammad Zahin Abdullah, 16, maut di tempat kejadian setelah melanggar belakang Mitsubishi Triton yang berhenti di bahu jalan.

Kejadian berlaku ketika mangsa bersama beberapa rakan lain yang menunggang motosikal berasingan dalam perjalanan dari Bukit Beruntung ke Bandar Sungai Buaya untuk makan malam.

Menurut saksi yang juga penumpang kereta pacuan empat roda terbabit, Muhammad Naim Rosli, 20, dia yang menunggu di tepi kenderaan terkejut melihat rempuhan yang berlaku di depan matanya.

“Saya duduk di besi penghadang sementara menunggu rakan pemandu kereta mencari rakannya yang terlebih dahulu terbabit debfab kemalangan di kawasan ini sebelum melihat rempuhan kuat motosikal itu.

“Kedua-dua penunggang dan pembonceng terjatuh dan tidak sedarkan diri," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurut Naim, sebelum kejadian, terdapat kemalangan membabitkan tiga motosikal lain di kawasan itu dan mereka datang untuk memberikan bantuan selepas mendapat panggilan daripada salah seorang mangsa yang juga rakannya.

Menurutnya, belum sempat dia menemui rakannya, rempuhan itu berlaku.

“Saya nampak kedua-kedua mangsa menunggang motosikal sambil menoleh ke belakang melihat kemalangan awal dan mungkin mereka tidak sedari kereta ini berhenti di bahu jalan menyebabkan rempuhan itu,” katanya.

Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: August 6, 2018 @ 8:25am
d