mutakhir

'Tak henti takbir dan ucap syahadah'

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

“KAMI melaungkan azan apabila bumbung Lapangan Terbang Antarabangsa Lombok bergegar seperti akan runtuh,” kata Ammar Sauti, 29, menceritakan pengalaman berdepan detik cemas ketika gempa bumi melanda Lombok, Indonesia, semalam.

Ammar adalah antara 18 sukarelawan daripada tiga pertubuhan iaitu Muslim Care, Briged Negaraku dan Team Medic Briged Negaraku yang dalam perjalanan pulang ke tanah air selepas terbabit dalam Misi Bantuan Gempa Bumi Lombok, sejak Sabtu lalu.

Katanya, ketika kejadian, dia bersama pasukannya sedang melalui proses imbasan keselamatan di lapangan terbang berkenaan sebelum secara tiba-tiba berlaku gegaran kuat menyebabkan bekalan elektrik terputus dan orang ramai yang panik berlari mencari tempat untuk berlindung.

“Saya terpaksa meninggalkan beg dan telefon bimbit dan berasak-asak berlari untuk keluar daripada kawasan itu.

“Ketika ada yang tidak henti melaungkan takbir dan mengucap dua kalimah syahadah. Semuanya kelam-kabut seperti semuanya berdepan dengan detik kematian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, keadaan semakin terkawal selepas 30 minit kemudian apabila orang ramai berkumpul di kawasan landasan lapangan terbang.

“Sejurus kemudian, pihak pengurusan lapangan terbang mengarahkan penumpang ke Kuala Lumpur bersedia untuk berlepas, baru saya masuk kembali ke dalam bangunan untuk mengambil semula barangan.

“Alhamdulillah, semua sukarelawan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 11.55 malam tadi,” katanya.

Katanya, kehadiran mereka ke sana bersama empat doktor adalah untuk membantu dan meringankan beban penduduk dengan menyampaikan bantuan makanan, pemeriksaan kesihatan, mengagihkan ubatan serta keperluan asas lain.

“Apa yang menyedihkan, lokasi yang kami lawati petang semalam di Dasan Bayan adalah antara lokasi yang teruk akibat gegaran gempa bumi berkenaan,” katanya.

Pada 29 Julai lalu, seorang rakyat Malaysia meninggal dunia manakala enam lagi parah akibat gempa bumi bermagnitud 6.4 melanda Pulau Lombok di Indonesia.

Tragedi kedua terus berlaku malam tadi dengan gegaran bermagnitud 7 dan setakat ini angka kematian meningkat kepada 82 orang dan ratusan dilaporkan cedera.

Disiarkan pada: August 6, 2018 @ 11:57am
d