mutakhir

Terkejut dengusan tedung tepi kaki

Oleh Amrullah Abdul Karim

Bukit Beruntung: Seorang lelaki terkejut apabila menyedari objek hitam dengan bunyi dengusan kuat di tepi kakinya adalah seekor ular tedung.

Kejadian itu berlaku ketika mangsa yang enggan dikenali baru pulang dari kerja dan melangkah masuk ke dalam rumahnya di Taman Adenium di sini, sekitar jam 8.30 malam semalam.

Mangsa yang terkejut sejurus mendapati seekor ular berada beberapa meter darinya cemas sebelum lari meminta bantuan daripada jirannya.

Jiran mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Hidir, 38, berkata, dia segera datang membantu sebaik diberitahu mengenai kejadian itu selain menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan.

“Kami hanya mampu memerhatikan kedudukan ular itu bagi memastikan reptilia itu tidak terlepas atau bersembunyi di lokasi lain,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Hulu Selangor, Leftenan Pertahanan Awam, Mansor Ab Rasid berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan ular itu jam 9 malam.

Menurutnya, sepasukan lima anggota APM dihantar ke lokasi bagi memberikan bantuan.

“Anggota APM berjaya menemui ular jenis tedung hitam sepanjang 1.4 meter di bawah rak simpanan barang.

“Walaupun ular itu agresif, anggota kami berjaya menangkapnya dalam tempoh tiga minit. Ular tedung hitam kemudian dilepaskan ke habitat asal di dalam hutan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang awam supaya lebih berhati-hati berikutan keadaan cuaca panas menyebabkan reptilia itu mencari tempat sejuk untuk berlindung.

Disiarkan pada: August 6, 2018 @ 11:58am
d