mutakhir

Pagar pun lesap...

Oleh Shaiffulazhar Misri

Melaka: Kes kecurian yang kerap berlaku di Pasar Awam Durian Tunggal di sini, sehingga pintu pagarnya turut hilang, menimbulkan kegelisahan penjaja dan peniaga di pasar itu.

Lebih merisaukan mereka, pencuri dipercayai aktif menjalankan kegiatan pada waktu malam itu, sehingga kini belum ditangkap.

Tinjauan mendapati, lokasi pasar terbabit yang terpencil selain tidak mempunyai lampu mencukupi menjadi sasaran mudah pencuri untuk membawa keluar barangan peniaga.

Peniaga, Mohd Suhaime Anuar, 34, berkata, akibat kejadian itu, dia kerugian apabila wang syiling disimpan di kedai dicuri, selain mengakui pasar berkenaan tiada ciri keselamatan lengkap.

“Peniaga di pasar ini dipindahkan dari lokasi lama pada jarak 150 meter ke lokasi baharu dan kawasan itu terpencil, sekali gus menjejaskan jualan peniaga.

“Kami akur dengan pemindahan, namun dengan kelengkapan keselamatan tidak seperti pasar lama seperti setiap gerai mempunyai ‘sangkar’, memudahkan penjenayah mengambil barangan milik peniaga sesuka hati,” katanya ketika ditemui di pasar itu, semalam.

Katanya, kejadian itu berlaku sejak lebih sebulan lalu dan laporan dibuat kepada Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) selaku pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Bagaimanapun, sehingga sekarang tiada tindakan dilakukan pihak terbabit,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Harith Salehuddin, 66, berkata, sekurang-kurangnya 40 kes kecurian berlaku dalam tempoh lima tahun pasar itu beroperasi.

“Antara barangan pernah hilang, mesin pemotong, mesin kelapa parut, peti sejuk beku untuk ikan dan daging serta peralatan perniagaan,” katanya yang menegaskan laporan turut dibuat di Balai Polis Durian Tunggal.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Mahani Masban ketika dihubungi berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai aduan berkenaan dan sedang dalam perhatian untuk tindakan.

“Setakat ini kontraktor yang dilantik diarahkan untuk melakukan kerja pembaikan dalam tempoh sehingga minggu depan membabitkan baik pulih pintu pagar, tandas dan menggantikan kepala paip yang dicuri,” katanya.

Disiarkan pada: August 6, 2018 @ 12:01pm
d