mutakhir

[UPDATE] Berkat sabar jaga suami

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

TIDAK sampai 24 jam kisah warga emas menghidap kanser otak dan hidung disiarkan Harian Metro, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan mengambil tindakan segera dengan menaikkan bantuan bulanan kepada RM350, berkuat kuasa September ini.

Zakaria Salleh, 64, yang koma sejak Januari lalu sebelum ini menerima bantuan JKM sebanyak RM150 sebulan, namun ia tidak mencukupi memandangkan keperluan untuk membeli susu dan lampin pakai buang membabitkan kos RM1,000 sebulan.

Pengarah JKM Kelantan, Said Sidup berkata, sebaik berita mengenai Zakaria disiarkan, pihaknya menghantar pegawai ke rumah keluarga berkenaan untuk menyiasat secara lanjut dan meluluskan kenaikan bantuan bulanan kepada RM350 sebulan.

"Berdasarkan siasatan kami, Zakaria adalah penerima bantuan am JKM sejak tahun lalu selepas menghidap kanser hidung.

"Namun isteri mangsa, Asiah Awang, 52, yang bekerja di kantin sekolah di Pasir Mas dan memperoleh pendapatan RM400 sebulan mengakui tidak memaklumkan keadaan sebenar perihal suami kepada JKM ketika menyerahkan borang semakan semula bantuan.

"Justeru, berkuat kuasa September ini, bantuan bulanan berkenaan dinaikkan kerana pesakit berkenaan dikategorikan sebagai bantuan pesakit terlantar dan keperluannya membabitkan kos tinggi," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Said berkata, pihaknya turut memberi bantuan segera RM300 kepada Asiah selain barang keperluan harian seperti toto dan makanan.

"Anak ketiga pesakit juga disarankan untuk memohon kad Orang Kurang Upaya (OKU) kerana dikatakan mempunyai masalah lembam," katanya.

NSTP semalam melaporkan, ibu kepada empat anak buntu untuk menanggung kos mencecah RM1,000 sebulan demi keperluan suaminya yang koma akibat kanser otak dan hidung sejak Januari lalu.

Kesempitan hidup menyebabkan Asiah keluar mencari rezeki seawal 4 pagi sebagai tukang masak di kantin sekolah dan menoreh getah, bagi menampung penjagaan suaminya.

Berita berkaitan

Demi kasih pada suami

Disiarkan pada: August 6, 2018 @ 1:42pm
d