mutakhir

Cinta pertama, cinta abadi - Nurul Izzah

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman

NAIB Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, tegas mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Katanya, kerusi berkenaan mempunyai memori tersendiri dan dianggap sebagai 'cinta abadi'.

“Cinta pertama dan kedua saya adalah Parlimen Lembah Pantai, namun Permatang Pauh adalah cinta abadi saya.

“Saya sangat komited (di Permatang Pauh). Saya ada banyak agenda untuk dilaksanakan di sana dan akan kekal di Permatang Pauh sehingga akhir tempoh penggal Parlimen," katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau ditanya sama ada sedia memberi laluan kepada bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk menduduki kerusi yang pernah diwakili pemimpin PKR itu.

Semalam, Anwar diisytihar menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, sekali gus membuka ruang untuk Pakatan Harapan (PH) meneruskan pelan melantiknya sebagai Perdana Menteri.

Anwar mendapat pengampunan diraja baru-baru ini dan keadaan itu membolehkan beliau bertanding pada pilihan raya untuk menjadi Ahli Parlimen dan seterusnya diangkat sebagai Perdana Menteri kelapan.

Isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, turut mengesahkan akan mempertahankan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Pandan, selain mahu mengekalkan semua jawatan dalam Kabinet.

Selain menjadi Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah turut memegang portfolio Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Disiarkan pada: August 6, 2018 @ 2:10pm
d