mutakhir

Ahli Parlimen DAP 'gemar' perkataan 'kepala bapak'

Oleh Hidir Reduan

“SABAR dulu, Larut. Nanti saya guna ‘kepala bapak kamu’, susah nanti.”

Perkataan itu terpacul dari mulut RNS Rayer (PH-DAP Jelutong) ketika percubaannya untuk mengemukakan soalan tambahan selepas dicelah oleh Datuk Seri Hamzah Zainudin (BN-UMNO Larut).

Berikutan itu, istilah ‘kepala bapak’ sekali lagi membawa kepada pertikaman lidah antara penyokong kerajaan dan pembangkang pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Hamzah menegur Rayer kerana mengemukakan soalan sama ada skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menyebabkan pelaburan asing ditarik balik dari negara ini kepada Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming.

Hamzah kemudian bangkit dan berkata: “Tadi Timbalan Menteri dah jawab, tiada kena mengena. Apalah Jelutong ni.”

Kenyataan itu menyebabkan sidang dewan menjadi kecoh sebelum Hamzah bangun dengan merujuk kepada Peraturan Mesyuarat 36 (4), dan meminta Rayer menarik balik kenyataan ‘kepala bapak kamu’.

Yang di-Pertua Datuk Mohamad Ariff Md Yusof meredakan keadaan dan mengarahkan Rayer menarik balik kenyataan terbabit.

Beliau turut mengingatkan Ahli Parlimen Jelutong itu mengenai amaran yang pernah dikeluarkan sebelum ini berhubung penggunaan istilah berkenaan.

Sebaik Rayer menarik balik perkataannya, Dewan Rakyat kembali kecoh apabila Datuk Abdul Rahman Mohamad (BN-UMNO Lipis) menggunakan perkataan mencarut .

“Itu saya dengar. Itu sangat tidak sopan. Tolong tarik balik, kalau tidak saya suruh keluar dewan. Jangan guna perkataan kesat seperti itu di dewan yang mulia ini,” katanya dalam nada tegas.

Abdul Rahman cuba menjelaskan perkataan itu adalah sama dengan tindakan Rayer menyebut ‘kepala bapak kamu’, tetapi Mohamad Ariff tegas dengan pendiriannya.

“Saya suruh tarik balik perkataan kesat itu. Ia lagi dahsyat daripada perkataan ‘kepala bapak kamu’. Ini tak beri apa-apa faedah kepada dewan yang mulia ini,” katanya.

Abdul Rahman kemudian menarik balik perkataannya tetapi keadaan kembali hiruk-pikuk apabila Rayer berkata ‘padan muka’ kepada Hamzah sebelum Ahli Parlimen Larut itu meminta ia ditarik balik.

Minggu lalu, Timbalan Speaker, Nga Kor Ming, mengarahkan Rayer menarik balik istilah ‘kepala bapak’ yang digunakannya ketika mencelah penggulungan.

Sementara itu, Ong ketika menjawab soalan tambahan Rayer berkata, pelabur yang membawa masuk pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia tidak menyatakan ketidakselesaan berhubung skandal 1MDB.

“Bagaimanapun, saya yakin tahap ketelusan akan ditingkatkan dan undang-undang dihormati dengan kerajaan baharu ini.

“Keadaan itu akan memberi kesan baik terhadap FDI,” katanya.

Disiarkan pada: August 6, 2018 @ 3:55pm
d