mutakhir

M Daud pergi buat selamanya...

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

PRESIDEN Persatuan Penyanyi, Pemuzik, Penulis Lagu Tanah Air (Papita) Datuk M Daud Wahid meninggal dunia pada usia 76 tahun di Hospital Shah Alam, Selangor pada jam 2.27 petang hari ini.

Anak keduanya, Mohd Fariz ketika dihubungi berkata, bapanya menderita kanser prostat sejak tahun lalu, selain mengalami kompilasi jantung selepas dimasukkan ke hospital, minggu lalu.

“Ayah dimasukkan ke hospital kerana sakit kanser prostat dan semasa dalam rawatan, dia mengalami serangan jantung yang serius.

“Keadaan kesihatannya memang merosot teruk sejak minggu lalu, kami menghantarnya ke hospital pada Sabtu lalu.

“Kami reda dengan pemergian ayah kerana dia sudah lama menderita sakit,” katanya.

Allahyarham M Daud yang memegang jawatan Presiden Papita selama 18 tahun, meninggalkan seorang balu iaitu Normala Sharif, 60, dan enam anak iaitu Norwatie, Mohd Fariz, Dalilawati, Rizaninanie, Noratikah dan Norsyahirah.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Badak, Klang selepas solat Maghrib hari ini.

Disiarkan pada: August 6, 2018 @ 5:16pm
d