mutakhir

Mujahid dakwa RM7.4 juta dana IKSIM 'hilang'

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman dan Rizanizam Abdul Hamid

KERAJAAN membekukan sementara akaun dan aktiviti dirancang Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), berkuat kuasa serta-merta setelah RM7.4 juta dana yang dibelanjakan tidak dapat dikesan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Dr Mujahid Yusof berkata, langkah itu bertujuan membolehkan IKSIM melalui proses pemulihan daripada unsur penyelewengan dana korporat.

“Keputusan ini dibuat selepas audit dalaman terhadap IKSIM dilakukan dan mendapati sejumlah RM7.4 juta perbelanjaan daripada RM7.6 juta yang diterima daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tidak dapat dikesan.

“Kira-kira 97 peratus dana yang dibelanjakan IKSIM tidak diketahui atau dikesan, berapa dan bagaimana ia dibelanjakan.

“Ini bukan jumlah kecil bagi IKSIM dan yang kita tahu hanya 2.2 peratus ada butiran transaksi,” katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.

Sebelum ini, IKSIM mendakwa kerajaan berhasrat menutup institusi itu selepas disekat menerima dana sehingga mengalami kekurangan sumber kewangan dan tidak dapat membayar penuh gaji kakitangan sejak Jun lalu.

Bagaimanapun, Mujahid berkata, tunggakan gaji kakitangan IKSIM sejak Jun lalu akan diselesaikan dengan segera oleh kerajaan.

Mengulas isu berasingan, beliau berkata, kerajaan sedia berdialog dengan golongan Lesbian, Gay, Biseksual, dan Transgender (LGBT) bagi membincangkan isu dihadapi.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, ia bukan bertujuan mengiktiraf gaya hidup sedemikian.

“Setiap rakyat negara ini berhak menyuarakan pandangan selagi tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Kita tidak ada masalah berdialog dengan sesiapa sahaja, namun ia bukan bermaksud saya terima gaya dan cara, sebaliknya kerana kerana bersuara adalah hak mereka.

“Kalau lebih daripada itu, nak iktiraf gaya hidup, itu peringkat lain yang kita kena bincang,” katanya.

Beliau diminta mengulas pendirian kerajaan terhadap kenyataan aktivis sosial Datin Paduka Marina Mahathir yang menyatakan sokongannya terhadap golongan LGBT di negara ini.

Disiarkan pada: August 6, 2018 @ 11:43pm
d