mutakhir

Perlu tambah baik

Oleh Hasbi Sidek

Kuala Lumpur

Tindakan memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) secara total adalah tidak wajar sebaliknya ia perlu ditambah baik berdasarkan keperluan semasa.

Bekas Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Bakri Zinin berkata, sesuatu proses pertuduhan terhadap pesalah akan memakan masa yang lama jika tiada akta seperti SOSMA dipraktikkan di negara ini.

“Berhubung cadangan untuk memansuhkan SOSMA, pihak kerajaan perlu mengambil kira tugas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi penguatkuasa lain dalam menjalankan tanggungjawab mereka untuk mengendalikan sesuatu kes.

“Bagi sesuatu kes yang sepatutnya disiasat di bawah SOSMA, namun jika SOSMA dimansuhkan, ia akan memakan masa yang lama untuk diselesaikan. Walhal ketika ini masyarakat sudah banyak mempertikaikan apabila banyak kes yang memakan masa terlalu lama untuk diselesaikan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mohd Bakri berkata, undang-undang seperti SOSMA sepatutnya ada dalam sesebuah negara bagi mengekang kegiatan pengganas dan jenayah berat, namun jika terdapat sebarang kelemahan pada akta itu, ia perlu ditambah baik.

“Untuk bersetuju secara total cadangan SOSMA dimansuhkan, saya berpendapat ia tidak wajar. Kerajaan sepatutnya meneliti masalah yang akan timbul pada masa akan datang.

“Ia akan menambah beban kepada PDRM. Masalah akan timbul kelak termasuk usaha untuk membendung kegiatan pengganas dan jenayah berat,” katanya.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 22 Julai lalu berkata, kerajaan akan memansuhkan SOSMA kerana akta berkenaan dipercayai bersifat zalim kepada rakyat.

Beliau berkata, SOSMA membenarkan kerajaan menangkap sesiapa saja tanpa dibawa ke mahkamah.

SOSMA diwujudkan pada 22 Jun 2012 oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dimansuhkan pada 15 September 2011 selepas diperkenalkan pada 1960.

Disiarkan pada: August 7, 2018 @ 10:39am
d