mutakhir

Pengalaman Ops Gubir 1976 dihujani peluru Komunis

Oleh Muhammad Mustakim Ramli

Arau: Pengalaman berhadapan detik cemas ketika helikopter Nuri dinaiki ditembak komunis ketika terbabit dalam Ops Gubir pada April 1976 masih tersemat disanubari Sarjan (B) Haris Dan, 69.

Dia yang ketika itu berusia 27 tahun tidak pernah sesekali dapat melupakan saat helikopter yang membawanya bersama anggota X Skuadron Rejimen Gerak Khas (RGK) dihujani peluru di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.

“Kami berada di Gubir sudah lama, seingat saya sudah dua hingga ke tiga minggu ditugaskan membersihkan kawasan berkenaan daripada ancaman komunis.

“Hari berkenaan (diserang komunis) adalah hari terakhir kami di sana sebelum pulang ke Kem Sungai Udang, Melaka.

“Segalanya berjalan lancar ketika helikopter mendarat untuk mengambil kami sebelum tiba-tiba ditembak,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Pida Baru, Tambun Tulang di sini.

Haris yang berkhidmat selama 18 tahun bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengakui peristiwa 42 tahun lalu itu masih berbekas disanubarinya mengenangkan kekejaman komunis.

“Alhamdulillah kami semua selamat, nyawa kami bagaikan di hujung tanduk, tembakan bertalu-talu itu boleh menyebabkan helikopter terhempas sekiranya tembakan mengenai juruterbang.

“Walaupun kami terselamat, ada anggota keselamatan lain maut pada hari yang sama apabila helikopter dinaiki mereka terhempas akibat ditembak komunis,” katanya.

Sementara itu, bapa kepada 11 anak dan datuk kepada 24 cucu itu berharap generasi muda sentiasa berhati-hati kerana musuh negara ketika ini bukan lagi berada di dalam hutan seperti pada zamannya.

“Musuh sentiasa memerhati, jadi berhati-hatilah. Sebagai anggota keselamatan dan sebagai rakyat jadilah individu yang bertanggungjawab dan amanah demi negara.

“Anda tidak merasai peritnya pengorbanan demi negara. Jagalah keamanan dan kemerdekaan yang diperjuangkan generasi sebelum ini,” katanya.

Info Ops Gubir

- Tujuan menggempur salah satu markas komunis di utara Semenanjung ketika zaman darurat

- Seramai 11 anggota keselamatan maut dalam Ops Gubir pada 26 April 1976

Disiarkan pada: August 7, 2018 @ 11:33am
d