mutakhir

Lemas di kuala sungai

Oleh Nur Syazwana Mansor

MAYAT lelaki yang dilaporkan lemas ketika melarikan diri dalam serbuan polis ditemui lemas di kuala Sungai Sala, Yan, hari ini.

Mangsa berusia 35 tahun itu ditemui terapung jam 8.07 pagi pada jarak tiga kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mazlan Yaakob berkata, operasi hari ini membuat pencarian dengan teknik pencarian dasar (surface searching) menggunakan bot di kawasan mangsa dipercayai lemas.

“Selepas ditemui, mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya kepada NSTP.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat itu dijalankan dengan kekuatan empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan, tiga anggota dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Sungai Petani serta bantuan dari agensi lain iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Yan.

NSTP semalam melaporkan lelaki yang melarikan diri ketika serbuan BSJN IPD Yan, dipercayai lemas selepas terjun di kuala Sungai Sala, Yan.

Dalam kejadian 4 petang itu, mangsa yang dipercayai penagih dadah terjun ke dalam sungai bagi mengelak ditahan polis yang melakukan serbuan ke atas sarang penagihan di kawasan berdekatan.

Disiarkan pada: August 7, 2018 @ 11:48am
d