mutakhir

SPRM reman pegawai kanan MAHB

Oleh Muhammad Yusri Muzamir

PEGAWAI Eksekutif Komersial Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) direman lima hari sehingga Sabtu ini, kerana disyaki menerima rasuah bagi menyokong atau mencadangkan sewaan tapak perniagaan di ruang legar Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di Bayan Lepas, di Georgetown.

Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar, Muhammad Azam Md Eusoff di Mahkamah Majistret, hari ini.

Ia bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, berkata Pegawai Eksekutif Komersial MAHB itu disyaki menerima suapan antara RM500 hingga RM2,000 bagi setiap kelulusan tapak sewaan berkenaan.

Katanya, suspek berusia 59 tahun itu ditahan di Pejabat MAHB di Bayan Lepas, pada jam 2.20 petang, semalam.

“Suspek dipercayai menerima suapan terbabit sebagai balasan untuk menyokong atau mencadangkan sewaan tapak perniagaan sebuah syarikat di kawasan ruang legar LTAPP,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Disiarkan pada: August 7, 2018 @ 12:21pm
d