mutakhir

Pemandu van sekolah gatal didakwa

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

PEMANDU van sekolah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sungai Petani atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap tiga murid perempuan berusia 10 tahun.

Mohd Yusoff Hassan, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Yusoff didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa berusia 10 tahun berhampiran sekolah, di sini, pada 1 tengah hari, 22 Julai lalu.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan perbuatan amang seksual fizikal terhadap mangsa lain berusia 10 tahun di Stesen Minyak Petronas Bandar Puteri Jaya, 2 petang, awal Mac lalu.

Pertuduhan terakhir, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama terhadap kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun di Jalan Bandar Puteri Jaya, 12 tengah hari, April tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, J Savinder Singh tidak menawarkan sebarang jaminan dengan alasan tertuduh akan mengganggu mangsa kerana mengenali mereka dan tahu di mana rumah mangsa.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dibenarkan jaminan dengan memberi alasan mempunyai masalah penyakit jantung dan perlu membuat rawatan susulan di hospital.

Dia turut memberi alasan perlu menyara lima anak yang mana dua masih bersekolah selain isteri hanya bekerja kilang, malah tidak mampu melantik peguam kerana menghadapi masalah kewangan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 iaitu RM10,000 bagi setiap kes dan menetapkan 16 Ogos ini tarikh sebutan semula kes.

Harian Metro 27 Julai lalu melaporkan pemandu van sekolah ditahan polis, selepas disyaki mencabul sembilan murid berusia 10 hingga 12 tahun di sekolah di Sungai Petani.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Sazalee Adam berkata, penahanan suspek berusia 49 tahun itu dibuat susulan laporan polis diterima pihaknya yang dibuat guru sekolah dan keluarga mangsa.

Berita berkaitan:

'Padan muka, hang gatai sangat...'

Disiarkan pada: August 7, 2018 @ 2:13pm
d