mutakhir

Kali kedua bersalah biak aedes [METROTV]

Oleh Sarah Zulkifli

SYARIKAT pembinaan Kenwingston Sdn Bhd yang didapati bersalah melakukan kesalahan kali kedua membiak nyamuk aedes didenda RM15,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini.

Majistret Wong Chai Sia membuat keputusan itu selepas syarikat diwakili pengarah keselamatannya, Muhammad Haidhar Mohd Hazlan, 31, mengaku bersalah atas perbuatan itu.

Jika gagal membayar denda itu, mahkamah akan mengeluarkan waran levi kepada syarikat itu.

Mengikut pertuduhan, syarikat pembinaan itu didakwa melakukan perbuatan membiak serangga pembawa penyakit iaitu larva nyamuk aedes Aegypti di lopak air di kawasan lingkungan premis tapak pembinaan itu.

Syarikat Kenwingston didakwa melakukan kesalahan itu di tapak bina Lot 67619 Jalan Metro Perdana Barat, Taman Metropolitan, Kepong, Kuala Lumpur pada 11.15 pagi, 13 Mac lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 13(1) dan dibaca bersama Seksyen 13(2) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dan dihukum di bawah Seksyen 23(b) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Pejabat Kesihatan Kepong, Nurhuda Mohamad Ramli memohon mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum disebabkan kesalahan kali kedua selepas pertama kali disabitkan kesalahan sama pada November tahun lalu dan didenda RM8,500.

“Hukuman dikenakan dapat memberi pengajaran dan iktibar kepada pengusaha tapak pembinaan lain bagi kepentingan kesihatan orang awam,” katanya.

Muhammad Haidhar yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan hukuman ringan atas alasan ketika itu musim hujan.

Mengikut fakta kes, sepasukan anggota dan pegawai dari Jabatan Kesihatan Kepong membuat pemeriksaan pembiakan serangga pembawa penyakit di tapak pembinaan berkenaan.

Hasil pemeriksaan menjumpai pembiakan larva nyamuk jenis aedes di lopak air di premis berkenaan.

Pada 23 November 2017, syarikat itu didenda RM8,500 atas kesalahan sama dan diarahkan supaya ditutup dari 13 Mac hingga 26 Mac lalu bagi kerja pembersihan tempat yang berpotensi untuk pembiakan nyamuk aedes.

Disiarkan pada: August 7, 2018 @ 9:17pm
d