mutakhir

ASP ditahan minta suapan?

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

SEORANG pegawai kanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang ditahan berhampiran restoran di Bandar Perda, Bukit Mertajam, semalam kerana disyaki menerima suapan bernilai RM15,000.

Pegawai polis berusia 39 tahun itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, jam 4.30 petang.

Ia susulan aduan diterima mendakwa suspek cuba menyelesaikan kes disiasat beliau di bawah Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM).

Menurut sumber, suspek berpangkat Asisten Superintendan (ASP) sebelum itu membuat penahanan ke atas empat individu disyaki terbabit dalam kes ATIPSOM pada 31 Julai lalu.

“Individu terbabit kemudian dibebaskan dengan jaminan polis pada 2 Ogos lalu sebelum pegawai polis itu meminta suapan wang dipercayai bagi menyelesaikan kes berkenaan.

“SPRM Kedah yang menerima aduan selepas pengadu membuat aduan bertindak menahan suspek dan merampas wang untuk suapan itu,” katanya.

Katanya, suspek kemudian dibawa ke Pejabat SPRM Alor Setar untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah Datuk Mohd Fauzi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan penahanan pegawai kanan polis terbabit bagi membantu siasatan.

Katanya, suspek dibawa ke Mahkamah Alor Setar, hari ini sebelum mendapat perintah tahanan reman selama empat hari.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 kerana memberi dan menerima suapan yang boleh membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan jika sabit kesalahan,” katanya.

Disiarkan pada: August 8, 2018 @ 3:10pm
d