mutakhir

'Sanggup kau lari tinggalkan aku...'

Oleh Nur Syazwana Mansor

TERKEJUT dengan kehadiran anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) daerah Yan, seorang lelaki bertindak melarikan diri dan meninggalkan teman wanitanya dalam serbuan di Kampung Selengkoh, Yan, semalam.

Ketika serbuan di rumah terbabit, pasangan kekasih berusia 30-an itu sedang leka menghisap dadah jenis syabu.

Difahamkan mereka mula menjalinkan hubungan cinta sejak setahun lalu selepas berkenalan ketika sama-sama menagih dadah.

Ketua AADK Yan, Mohamad Ramli berkata, ketika serbuan dilakukan lelaki berkenaan sedang leka melayan dadah bersama teman wanitanya, namun bertindak meninggalkan wanita terbabit sebaik sahaja menyedari kehadiran pihak AADK dan gagal ditangkap.

Katanya, operasi yang bermula dari jam 9.30 pagi hingga 7 malam itu membabitkan seramai sembilan anggota AADK menyerbu Kampung Sungai Udang, Kampung Raga, Kampung Seberang Jaya, Kuala Sala, Kampung Sungai Limau dan Kampung Kabu 10.

“AADK berjaya menahan 17 individu iaitu 15 lelaki dan dua daripadanya adalah wanita.

“Hasil ujian saringan air kencing kesemua yang ditahan positif dadah jenis opiat dan methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad berkata, mereka yang ditahan berusia antara 20 hingga 50 tahun dan akan disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983.

“Seramai 13 individu akan direman di Pusat Tahan Reman Kampung Selamat, Pulau Pinang manakala empat yang lain diberi jamin pegawai untuk tindakan lanjut.

“Pihak AADK amat mengharapkan kerjasama semua pihak terutamanya pemimpin serta masyarakat untuk bersama dalam memerangi dadah ini,” katanya.

Beliau berkata, pihak AADK juga berusaha memastikan mereka yang terbabit dengan penagihan dadah diberikan tempat bagi menjalani pemulihan.\

Disiarkan pada: August 8, 2018 @ 3:50pm
d