mutakhir

Ada juga serbuk pencuci tiruan?

Oleh Mohd Sabran Md Sani

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor merampas 1,392 unit serbuk pencuci berjenama tiruan bernilai RM6,090 dalam serbuan di Jalan Pandan Ria 6, Kangkar Tebrau, semalam.

Sabun serbuk 850 gram itu dijual pada harga murah RM4.37 berbanding produk asli dijual antara RM6 ke RM7 sebungkus.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Johor, Aris Mamat berkata, operasi membabitkan 15 anggota penguat kuasa KPDNHEP Johor Bahru pada jam 10.30 pagi itu hasil pemantauan dan risikan terhadap penjualan sabun serbuk tiruan di dua premis.

“KPDNHEP Johor Bahru yang diketuai Pegawai Penguat kuasa Nazari Ham menjalankan operasi ke atas dua premis selepas disyaki menjual sabun pencuci pakaian dari satu jenama disyaki tiruan.

“Operasi dijalankan ke premis yang menjual pelbagai jenis barangan runcit dan keperluan isi rumah mendapati premis itu ada menjual barangan menggunakan jenama sabun serbuk pencuci pakaian,” katanya pada sidang media di Stor Eksibit KPDNHEP di Senai, Kulai,hari ini.

Beliau berkata, tindakan operasi itu selepas pihaknya menerima aduan pemilik barangan terbabit mengenai peniruan produk keluaran syarikatnya.

“Pengadu mendakwa serbuk pencuci keluaran syarikatnya ditiru pihak tidak bertanggungjawab dan dijual lebih murah berbanding asli selain tekstur sabun tiruan lebih kasar manakala teknik pembungkusan juga didapati berbeza.

“Siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengenal pasti punca bahan itu diperoleh termasuk menyoal siasat dua individu yang ditahan dalam operasi itu,” katanya sambil menyatakan produk itu dipercayai sudah setahun berada di pasaran.

Katanya, seorang pekerja lelaki berusia 35 tahun ditemui dalam operasi pertama manakala warga Bangladesh berusia 40 tahun pada operasi di premis kedua dengan kedua-dua mereka diambil keterangan.

Katanya, semua barangan itu disita mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 bagi tujuan siasatan lanjut.

“Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda tidak lebih RM10,000 jika sabit kesalahan,” katanya.

Katanya, KPDNHEP Johor akan terus menjalankan operasi sama ke atas mana-mana premis menjual barang tiruan jenama.

Disiarkan pada: August 8, 2018 @ 4:03pm
d