mutakhir

Kerajaan PH tegas tolak LGBT

Oleh Siti Nur Mas Erah Amran

DUA potret aktivis Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) yang dipamerkan di festival pameran fotografi ‘Stripes and Strokes’ sempena Festival Georgetown, Pulau Pinang diturunkan kerana melanggar peraturan ditetapkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof menegaskan, potret berkenaan seolah-olah mempromosikan budaya LGBT yang bertentangan dengan dasar kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Kita sudah menghubungi penganjur dan meminta mereka menggunakan ikon lain yang tidak mempromosikan budaya LGBT.

“Adakah perlu ikon sedemikian? Jika benar mereka tidak mempromosikannya, mengapa tidak boleh tukar ikon lain?” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Mujahid berkata, pihaknya menghormati golongan LGBT tetapi tidak bersetuju sekiranya gaya hidup golongan itu dipromosikan.

“Kita sudah ulang beberapa kali, kita takkan masuk campur urusan LGBT atau sebaliknya.

“Bagaimanapun, kita kena ambil tindakan jika mereka melanggar undang-undang dan menyakiti perasaan orang lain,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mujahid berkata, kerajaan menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak berkuasa, berhubung ‘kehilangan’ sejumlah RM7.6 juta peruntukan Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM).

Beliau secara berkias berkata, sesiapa yang melakukan kesalahan jarang mahu mengaku perbuatan mereka.

“Saya tidak akan bercakap tanpa bukti.

“Orang kalau kita dah londehkan seluar dia, takkan dia nak kata ‘betul, saya yang buat’.

“Jalan terbaik akan dicari untuk menyelesaikan isu ini tetapi saya bertanggungjawab atas segala dakwaan yang dibuat terhadap institut terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta penafian IKSIM berhubung dakwaan Mujahid berhubung dana berjumlah RM7.4 juta yang dibelanjakan tidak dapat dikesan.

Semalam, kerajaan membekukan sementara akaun dan aktiviti dirancang IKSIM berkuat kuasa serta-merta.

Mujahid dilaporkan berkata, tindakan itu diambil selepas audit dalaman mendapati RM7.4 juta perbelanjaan daripada RM7.6 juta yang diterima daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tidak dapat dikesan.

Disiarkan pada: August 8, 2018 @ 8:46pm
d