mutakhir

Tak guna punya mak sedara!

Oleh Manorza Saraev

SEORANG wanita tergamak mendera anak saudaranya berusia lima tahun sehingga patah tangan kanan selain cedera pada tubuhnya.

Perbuatan wanita berusia 25 tahun itu terbongkar ketika dia menghantar kanak-kanak perempuan berkenaan ke Hospital Mukah, pada 12.25 tengah hari ini.

Difahamkan, doktor yang merawat kanak-kanak itu berasa curiga mengenai kesan kecederaan dialami mangsa sebelum menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian berkenaan.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Jimmy Panyau, berkata bertindak atas maklumat itu, wanita terbabit ditahan untuk siasatan lanjut.

“Dalam soal siasat dijalankan, suspek mengakui memukul mangsa dengan penyidai baju, tangan serta kayu di rumah pekerja kilang sawit di Selangau.

“Suspek memukul kanak-kanak itu dua hari lalu sebanyak tiga kali," katanya ketika dihubungi.

Akibatnya, mangsa patah tangan kanan, lebam pada bahagian muka, dada, belakang badan, kedua-dua belah kaki serta kulit menggelupas di bahagian atas kemaluan.

Bagaimanapun, mangsa kini dilaporkan dalam keadaan stabil dan dirujuk ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut.

Jimmy berkata, suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31 (1) (a) Akta kanak-Kanak 2001.

Disiarkan pada: August 8, 2018 @ 9:25pm
d