mutakhir

Polis cemas diseret penjenayah 10 meter

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

SEORANG anggota polis berdepan situasi cemas apabila diseret kira-kira 10 meter oleh kenderaan suspek yang cuba melarikan diri sebelum rakan setugasnya melepaskan tembakan ke arah tayar kenderaan terbabit.

Kejadian bermula pada 12.01 tengah malam tadi apabila polis membuat pemantauan ke atas kereta Honda Civic bagi melakukan risikan kes kecurian kenderaan di tempat letak kereta pangsapuri di Taman Mount Austin, Johor Bahru.

Polis kemudian menahan suspek berusia 30 tahun yang datang ke kenderaan itu untuk pemeriksaan, namun lelaki terbabit bertindak agresif dan melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, pada 1.15 pagi, suspek datang memandu sebuah kenderaan Toyota Vellfire dan berhenti berhampiran Honda Civic berkenaan.

“Kami mendapati, suspek keluar daripada kenderaan pelbagai guna (MPV) itu dan pergi ke Honda Civic, sebelum pasukan serbuan polis cuba menahannya yang sedang membuka pintu kereta.

“Suspek bertindak agresif dan melarikan diri ke arah tempat duduk pemandu MPV, namun seorang daripada anggota yang menyertai serbuan berjaya menahannya.

“Suspek bertindak lebih agresif dan terus memandu kenderaan itu untuk melarikan diri sehingga mengakibatkan anggota serbuan diseret kira-kira 10 meter,” katanya.

Melihat tindakan suspek, beliau berkata, anggota polis yang lain mengarahkan saspek berhenti, namun suspek tidak mengendahkan amaran dan bertindak ingin melanggar pihak polis.

Katanya, berikutan ancaman itu, polis terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah tayar MPV dipandu suspek sebelum kenderaan itu terbabas dan merempuh tiang konkrit di kawasan parkir berkenaan.

“Siasatan lanjut ke atas suspek yang juga penganggur itu membawa ke kawasan tempat letak kereta sebuah lagi pangsapuri di Jalan Permas 2, Masai, dan suspek menunjukkan sebuah lagi Honda Civic yang dilaporkan hilang.

“Kami turut menyemak kenderaan lain di kawasan sama dan menjumpai dua kereta iaitu Honda Accord dan Honda CRV yang kedua-duanya dilaporkan hilang,” katanya.

Shahurinain berkata, pihaknya kemudian merampas kelima-lima kenderaan terbabit serta sebuah beg mengandungi pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk mencuri kenderaan.

Beliau berkata, suspek kini ditahan reman sehingga Isnin depan dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki itu positif methamphetamine.

"Suspek turut mempunyai tujuh rekod jenayah lampau termasuk kes dadah.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya.

Disiarkan pada: August 8, 2018 @ 9:39pm
d