mutakhir

Geng Kacang dah kecundang

Oleh Nur Syazwana Mansor

MEMECAH masuk rumah tidak berpenghuni atau rumah inap desa bermula petang hingga tengah malam sebelum melarikan barangan berharga menjadi modus operandi tiga lelaki dikenali Geng Kacang yang mula aktif sejak awal tahun ini.

Sasaran suspek berusia 20 hingga 40 tahun itu tertumpu di kawasan sekitar daerah Pendang dan Kota Setar dengan memecah masuk bermula 3 petang hingga 12 tengah malam.

Bagaimanapun, kegiatan mereka akhirnya terbongkar selepas polis menahan suspek dalam dua serbuan berasingan pada 2 Ogos dan Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, serbuan pertama dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Pendang pada 9.30 malam di sebuah rumah di Pendang berjaya menahan dua lelaki.

“Susulan penangkapan itu, polis menyerbu sebuah rumah di kampung sama pada 5.30 petang Ahad lalu dan menahan seorang lagi lelaki dipercayai anggota kumpulan sama.

“Turut dirampas dalam serbuan terbabit beberapa perkakas pecah rumah, sebuah kereta Proton Iswara, enam televisyen pelbagai jenama, sebuah tablet, sebuah komputer riba dan sebuah ketuhar elektrik,” katanya pada sidang media di IPD Pendang, Pendang, hari ini.

Arriz Sham berkata, hasil soal siasat suspek mengaku terbabit dalam enam kes pecah rumah di Pendang dan 14 kes sama di Kota Setar.

Beliau berkata, kumpulan itu menyasarkan rumah tidak berpenghuni di kawasan taman atau rumah dijadikan rumah inap desa.

“Hasil semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek pertama yang ditangkap mempunyai 14 rekod jenayah lampau membabitkan pelbagai kesalahan jenayah.

“Suspek kedua pula tidak mempunyai rekod lampau, tetapi mempunyai rekod orang dikehendaki bersangkut dengan Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Manakala suspek ketiga mempunyai dua rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 3 (1) Akta Pencegahan Dadah dan Seksyen 332 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata, hasil ujian air kencing mendapati dua daripada mereka positif dadah jenis syabu dan morfin manakala seorang lagi positif morfin.

“Berikutan tertangkapnya ahli kumpulan ini, pihak IPD Pendang berjaya menyelesaikan enam kes pecah rumah di Pendang dengan anggaran kerugian RM 10,000.

“Manakala baki 14 kes di daerah Kota Setar diserahkan kepada pihak IPD Kota Setar untuk siasatan lanjut.

“Semua suspek direman sehingga esok dan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: August 8, 2018 @ 9:50pm
d