mutakhir

Redah asap selamatkan warga emas

Oleh Shahrul Nizam Mohamad

“SAYA nampak asap tebal menjulang di bahagian dapur rumah sebelum bergegas memanggil jiran membantu menyelamatkan mangsa yang tinggal seorang diri,” kata jurukimpal Mohd Ikhwan Saifuddin, hari ini.

Mohd Ikhwan, 26, nekad meredah asap tebal membawa keluar wanita warga emas yang terperangkap di dalam rumahnya di Kampung Guai, Temerloh, pagi hari ini.

Dalam kejadian 11 pagi itu, mangsa Rokiah Awang Bidin, 95, tidak cedera apabila sempat dibawa keluar dari rumahnya.

Mohd Ikhwan, berkata, sebelum kejadian, dia sedang bekerja di bengkel mengimpal besi berhampiran rumah mangsa.

Katanya, dia terkejut selepas melihat asap menjulang diikuti bunyi percikan sebelum memanggil jiran untuk meminta pertolongan.

“Saya masuk ke dalam rumah dan membawa mangsa keluar sebelum api merebak dengan pantas memandangkan keadaan cuaca panas terik.

“Syukur mangsa tidak cedera, namun tinggal sehelai sepinggang selepas tidak sempat menyelamatkan harta benda,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Komander Operasi Kanan Hashnuddin Husin berkata, pasukan bomba mengambil masa dua jam untuk memadamkan kebakaran sepenuhnya.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian sebenar masih dalam siasatan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: August 8, 2018 @ 11:05pm
d