mutakhir

Pecah silih berganti

Oleh Ruwaida Md Zain

Klang: Sejak 10 hari lalu, kira-kira 550 penghuni Blok G Flat Sri Perantau di sini terpaksa bergantung kepada hanya dua daripada lapan tangki air di kawasan itu untuk menjalankan aktiviti harian.

Ia berikutan beberapa tangki air di blok termasuk tangki kecemasan, pecah atau bocor dalam tempoh kurang seminggu.

Dalam kejadian pertama kira-kira jam 1.30 pagi pada 30 Julai lalu, tangki pertama di sebelah kiri bumbung blok pecah, mengakibatkan dua lagi tangki bersebelahannya rosak, bocor dan tidak dapat menampung air di dalamnya.

Lebih malang lagi, kira-kira jam 3 petang pada 5 Ogos lalu, tangki air kecemasan menempatkan air untuk kegunaan kecemasan dan bomba terletak di bahagian tengah bumbung pula pecah dan terbelah, turut menyebabkan kerosakan kepada satu lagi tangki kecemasan.

Justeru, penghuni terpaksa bergantung kepada dua lagi tangki yang masih berfungsi manakala sebuah lagi tangki sudah lama tidak digunakan.

Tinjauan mendapati kesemua tangki terbabit sudah kering dan tidak berfungsi, dan difahamkan, penghuni beberapa rumah tingkat sembilan juga mengalami kerosakan peralatan rumah seperti perabot, siling, dinding akibat limpahan air dari tangki yang pecah itu.

Wakil penghuni Blok G, Mohamad Khairi Mohd Yunus ketika ditemui berkata, setiap blok mempunyai lapan tangki, tiga di sebelah kanan, tiga di sebelah kiri dan dua tangki kecemasan di tengah.

“Apabila tangki itu pecah, ia mengakibatkan tangki kedua dan ketiga mengalami kerosakan dan tidak boleh digunakan.

“Jadi, saya minta kerjasama pengurusan bangunan untuk menggunakan tangki bahagian tengah yang masih berfungsi. Tangki itu untuk kecemasan dan bomba tetapi sebab penghuni sudah putus bekalan air, jadi selepas guna bekalan air dari tangki itu hampir seminggu, ia juga berkurangan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, selepas menyedari berlaku kebocoran pada tangki kecemasan itu pihaknya terpaksa menutupnya.

“Mulai semalam, penghuni guna air paip dari kepala paip awam berhampiran rumah sampah di bawah sana sebab tangki kecemasan tu ada kebocoran juga, ” katanya.

Mohamad Khairi berkata, sudah empat hari lif di blok berkenaan tidak berfungsi disebabkan limpahan air masuk ke dalam lubang lif sehingga menyebabkan gangguan bekalan elektrik terutamanya kotak fius.

Mohamad Khairi berkata, pihaknya sudah berhubung dengan wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat KLANG agar perkara itu dipanjangkan kepada ADUNnya, Datuk Abdul Rashid Asari.

Disiarkan pada: August 9, 2018 @ 10:57am
d