mutakhir

'Buaya nak baham kucing saya...'

Rafiqah Dahali

BUAYA seberat 150 kilogram (kg) ditangkap selepas cuba membaham seekor kucing peliharaan penduduk di Kampung Mempakul di Menumbok, malam tadi.

Buaya itu dipercayai dari kawasan paya bakau berhampiran dan sudah biasa berlegar-legar di bahagian bawah rumah penduduk, Mohd Sahrin Kamarin, 41, sejak enam tahun lalu.

Mohd Sahrin berkata, dia selalu melihat buaya itu di sekitar halaman rumahnya sejak enam tahun lalu, ketika haiwan berkenaan masih kecil.

“Disebabkan rumah saya berdekatan dengan kawasan paya bakau, saya percaya buaya itu datang dari sana dan kemudian sampai ke kawasan rumah saya.

“Saya pernah membuat aduan sebelum ini, tetapi disebabkan buaya itu masih kecil jadi saya beranggapan ia tidak membahayakan kami.

“Bagaimanapun, semalam saya terkejut melihat buaya itu nyaris membaham kucing peliharaan saya sebelum membuat laporan kepada pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Menumbok untuk ditangkap,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Sementara itu, Pegawai APM Daerah Beaufort, Leftenan Mayroof Koibil, berkata operasi menangkap buaya itu dilakukan sebaik menerima maklumat daripada Mohd Sahrin.

“Operasi menangkap buaya itu dilakukan oleh enam anggota APM yang mengambil masa 43 minit sebelum operasi ditamatkan.

“Buaya terbabit adalah dari spesies buaya sungai dengan ukuran sembilan kaki panjang dan berat 150 kg,” katanya.

Disiarkan pada: August 9, 2018 @ 1:50pm
d