mutakhir

KJ lapor polis 'tuduhan' Guan Eng [METROTV]

Oleh Fazrik Kamarudin

AHLI Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin, hari ini membuat laporan polis terhadap dakwaan Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa wang tuntutan GST berjumlah RM18 bilion yang sepatutnya dibayar balik kepada peniaga ‘dirompak’ oleh Kerajaan Barisan Nasional.

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, pada jam 2 petang.

Khairy Jamaluddin berkata, laporan itu dibuat bagi memastikan pihak berkuasa menjalankan siasatan sambil menyifatkan siasatan dalaman yang sedang dilakukan Kementerian Kewangan tidak mencukupi.

“Jika satu tuduhan melakukan rompakan, ia sudah menjadi satu kesalahan dan satu siasatan terbuka perlu dibuat.

“Ia satu tuduhan yang serius dan tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya tanpa bukti yang kukuh, selain laporan polis saya juga akan membuat laporan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) esok.

“Kami juga bagi pihak Barisan Nasional mahu membersihkan nama kerajaan yang lalu. Sekiranya berlaku rompakan maka bawalah mereka yang terbabit ke muka pengadilan, sekiranya tidak maka perlu dijelaskan tuduhan itu tidak tepat dan tidak benar,” katanya.

Semalam, ketika membentangkan RUU GST (Pemansuhan) 2018 di Dewan Rakyat, Guan Eng dipetik berkata, kerajaan akan berusaha melunaskan tunggakan tuntutan cukai input bagi GST mulai tahun depan.

Katanya, tunggakan pembayaran bagi tuntutan cukai input GST sejak 1 April 2015 hingga 31 Mei lalu berjumlah RM19.4 bilion.

Bagaimanapun, baki semasa dalam Tabung Bayaran Balik hanya RM1.49 bilion, bermakna berlaku kekurangan kira-kira RM18 bilion.

Guan Eng berkata, RM18 bilion itu dianggap sebagai hasil kerajaan tetapi digunakan untuk menutup defisit yang membawa kepada kekurangan berkenaan.

Susulan itu, satu siasatan dalaman dilakukan oleh Kementerian Kewangan bagi mengenal pasti punca pengurangan RM18 bilion itu.

Disiarkan pada: August 9, 2018 @ 4:14pm
d