mutakhir

Gajah datang lagi

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

PENDUDUK Kampung Pelong, Setiu kembali berdepan ancaman gajah liar kurang dari 48 jam selepas operasi pemindahan seekor gajah jantan ke Taman Negara Tasik Kenyir pada Selasa lalu.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pelong, Yahya Mat Zin berkata, kejadian disedari kira-kira jam 8 pagi tadi selepas beberapa penduduk membuat aduan tanaman kelapa sawit mereka dimusnahkan kumpulan haiwan itu.

“Kami yakin gajah liar itu masih berada dalam kawasan sekitar dan rondaan penduduk akan diteruskan pada malam ini.

“Selagi musim buah tidak berakhir kami percaya gajah itu akan terus keluar masuk dari hutan simpan ke sini,” katanya.

Sementara itu, penduduk kampung, Abdul Rahman Abu Bakar berkata, mereka yakin kumpulan gajah itu masuk melalui kawasan yang tidak disekat dengan pagar elektrik malam tadi.

“Pagar elektrik hanya meliputi sempadan kampung dengan kawasan Hutan Simpan Bukit Kesing sahaja tidak termasuk kawasan berhampiran.

“Kumpulan gajah dipercayai masuk melalui laluan tidak berpagar ke kawasan tanaman kelapa sawit berdasarkan kesan tapak kaki serta tanaman yang musnah dan didapati menghala ke arah padang ragut serta kebun penduduk lain.

“Jarak antara tempat gajah liar masuk dengan lokasi seekor gajah liar ditangkap baru ini sekitar 500 meter sahaja,” katanya.

Katanya, mereka percaya kumpulan gajah ini adalah kumpulan yang sama masuk ke kawasan kebun penduduk sejak awal bulan ini.

“Jumlahnya mungkin lebih daripada sepuluh ekor dan haiwan itu biasanya bergerak pada waktu malam.

“Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) juga sudah membuat tinjauan awal pagi ini di lokasi terlibat selepas menerima aduan penduduk,” katanya.

Disiarkan pada: August 9, 2018 @ 4:29pm
d