mutakhir

Siapa kata kejar jawatan - Nurul Izzah

Oleh Nadia Hamid dan Husna Alias

NAIB Presiden PKR Nurul Izzah Anwar yang mempertahankan jawatannya dalam Pemilihan PKR pada November depan menepis dakwaan beliau mengejar jawatan dalam parti.

Ahli Parlimen Permatang Pauh yang berada dalam Kem Reformasi 20 Tahun bersama Rafizi Ramli, bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Beliau yang merujuk kepada desas-desus berlaku kepincangan dalam PKR, berkata dirinya sudah muak untuk menjawab pertanyaan media berhubung isu berkenaan.

“Itu (pertanyaan) obsesi anda. Rujuk kepada ‘tweet’ saya (status Twitter). Saya sudah hantar keputusan untuk mempertahankan jawatan Naib Presiden untuk fokus bertanggungjawab, bukan sekadar jawatan,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas melancarkan seminar TVET Pemacu IR 4.0 anjuran MIMOS Berhad di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada 5 Ogos lalu, Nurul Izzah menerusi status di Twitternya, mengumumkan mengemuka borang pencalonan mempertahankan jawatan Naib Presiden PKR yang diserah melalui wakilnya yang juga Ketua Komunikasi Strategik PKR, Fahmi Fadzil.

Beliau turut memuat naik status: “Semoga terus diberi ruang dan mandat. Kita perlu perteguh idealisme, menyelusuri permulaan parti sejak April 1999, dan sentiasa menyantuni rakyat. Kita hanya relevan selagi prihatin isu rakyat. #Reformasi”.

Ketika ditanya sama ada akan memberi laluan kerusi Parlimen kepada bapanya yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Izzah tetap mengunci mulut.

“Saya sudah komen pasal ini (laluan kerusi Parlimen) banyak kali dan cukup memadai. Tidak perlu ulang.

“Media boleh rujuk jawapan saya dua hari lalu. Soalan sama ditanya media berkali-kali, (jadi) saya rasa cukuplah saya jawab sekali dan insya-Allah, fokus terhadap tugasan saya,” katanya.

Disiarkan pada: August 9, 2018 @ 4:32pm
d