mutakhir

Maahad Al-Islah terbakar lagi

Oleh Muhammad Apendy Issahak

BANGUNAN asrama Sekolah Menengah Agama Maahad Al-Islah, Sungai Manik di Teluk Intan terbakar kira-kira jam 2.30 petang hari ini.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan berkata, sebaik menerima maklumat awam berhubung kejadian itu pihaknya terus ke lokasi kejadian dan mendapati berlaku kebakaran membabitkan bangunan dua tingkat berkenaan.

“Maklumat daripada ketua operasi memaklumkan kebakaran membabitkan sebuah bangunan asrama dua tingkat maahad tahfiz berkenaan.

“Operasi pemadaman sedang dijalankan dan berdasarkan maklumat awal tiada mangsa atau pelajar yang terperangkap dalam kebakaran itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, operasi pemadaman membabitkan pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan dengan dibantu BBP Hutan Melintang dan Tapah serta Pasukan Bomba Sukarelawan (PBS) Langkap dengan diketuai Penolong Penguasa Bomba, Zulkafle Abdullah.

Kebakaran berkenaan adalah kali kedua membabitkan sekolah yang sama dengan kejadian pertama berlaku pada Julai tahun lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam 2 Julai tahun lalu, kebakaran memusnahkan sebuah stor menyimpan kelengkapan seperti tilam, katil, meja dan kerusi blok asrama sekolah berkenaan.

Disiarkan pada: August 9, 2018 @ 5:16pm
d