mutakhir

Simpanan persaraan untuk pemandu Grab

Oleh Nabil Basaruddin

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Grab Malaysia sebagai usaha membantu pemandu perkhidmatan e-panggilan itu meningkatkan simpanan persaraan menerusi Caruman Sukarela Insentif Persaraan (i-Saraan).

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, pihaknya mahu menggalakkan komuniti pemandu Grab untuk mendaftar sebagai ahli KWSP secara sukarela dan menyimpan bagi tujuan persaraan.

Katanya, semua ahli KWSP disediakan dengan pilihan simpanan yang selamat kerana mempunyai bukti prestasi yang mapan dengan pulangan melebihi inflasi yang akan meningkatkan nilai simpanan untuk tempoh masa panjang.

“Dengan menyumbang kepada skim ini, pemandu Grab dapat menikmati manfaat yang sama seperti ahli KWSP yang lain seperti dividen tahunan bagi simpanan persaraan, pengecualian cukai, manfaat kematian dan akses kepada Perkhidmatan Nasihat Persaraan tanpa sebarang kos.

“Selain itu, kerajaan juga menawarkan tambahan 15 peratus ke atas caruman tahunan dengan jumlah maksimum sehingga RM250 setiap tahun sehingga 2022 bagi ahli yang berusia bawah 55 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

i-Saraan sebelum ini dikenali sebagai Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia (SP1M) direka khusus bagi membolehkan individu yang bekerja sendiri atau golongan yang menerima pendapatan bulanan tidak tetap seperti pemandu teksi, petani dan pekerja bebas dapat menikmati manfaat seperti ahli KWSP.

Bermula 16 Ogos ini, Grab juga akan menyediakan caruman sebanyak lima peratus dari jumlah disumbangkan oleh pemandu terpilih tertakluk kepada nilai maksimum RM80 setahun sebagai tambahan kepada insentif yang disediakan kerajaan.

Disiarkan pada: August 9, 2018 @ 6:14pm
d