mutakhir

Guan Eng tanya mana wang itu...?

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

BEKAS Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah perlu mendedahkan lokasi wang bayaran balik tuntutan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.5 bilion yang didakwa ‘disembunyikan’.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, jawatan Mohd Irwan ketika itu di bawah Kementerian Kewangan, harus membolehkannya mengetahui mengenai perkara terbabit.

“Ia (wang pembayaran balik) tiada, kalau ada sudah tentu kita bayar kembali.

“Kalau Tan Sri Mohd Irwan kata ia (duit) ada di situ, kita nak beliau beritahu di mana beliau menyembunyikannya.

“Mungkin dia tahu sesuatu yang kita semua tidak tahu,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen, hari ini.

Mengulas penafian Mohd Irwan terhadap tuduhan kerajaan itu, Guan Eng mengakui ada mendengar mengenainya tetapi belum meneliti kenyataan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan berkenaan.

“(Dakwaan) bukan beliau yang buat keputusan? Itu reaksi yang dengar tapi saya tak tengok lagi kenyataannya. Kita biar siasatan dalaman dahulu,” katanya.

Mengulas tindakan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, membuat laporan polis, hari ini berhubung dakwaan kerajaan BN 'merompak' bayaran balik GST sejumlah RM18 billion, Guan Eng berkata, kerajaan tidak akan membuat laporan balas.

“Kita mahu ada sesuatu yang konkrit, itu sebabnya kita utamakan siasatan dalaman.

“Selepas itu kita akan serahkan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tindakan seterusnya,” katanya.

Berita berkaitan

Wang RM18 bilion tidak hilang...

KJ lapor polis 'tuduhan' Guan Eng [METROTV]

Disiarkan pada: August 9, 2018 @ 7:03pm
d