mutakhir

'Tak bantah LGBT tapi tak boleh promosi'

Oleh Audrey Dermawan

PEMUDA Parti Amanah Negara (AMANAH) Pulau Pinang tidak membantah gaya hidup lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Ketua Pemuda AMANAH negeri, Mohd Saifullah Abd Nasir bagaimanapun menegaskan, amalan gaya hidup golongan terbabit sepatutnya tidak ditonjolkan secara umum.

Sehubungan itu, katanya, Pemuda AMANAH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) negeri menyokong arahan untuk menurunkan poster dua aktivis dari ruang pameran di Dewan Sri Pinang di Georgetown.

“Majoriti rakyat tak boleh terima gaya hidup golongan LGBT dan pendirian kita dalam hal ini jelas, LGBT ini adalah pilihan gaya hidup golongan berkenaan, ia antara mereka dan Tuhan. Kita menghormatinya sebagai sebahagian hak asasi, tetapi ia tak boleh ditonjolkan kepada umum.

“Ia akan mengundang keresahan dalam kalangan masyarakat, sekiranya ia dipromosi secara umum, selain mengundang ketidakselesaan. Justeru ia tak boleh diterima, terutamanya dalam negara,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa mengarahkan dua potret aktivis LGBT dipamerkan sempena Festival Georgetown dikeluarkan kerana melanggar peraturan, selain dikatakan bertentangan dengan dasar kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Mohd Saifullah berkata, walaupun mengetengahkan konsep Malaysia Baharu, PH seharusnya mengambil berat pandangan pengundi di luar bandar yang turut memberi kemenangan kepada gagasan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Kita turut menyuarakan pandangan mereka yang majoritinya menentang amalan gaya hidup LGBT dipromosikan secara terbuka. Semua pihak perlu berpegang kepada prinsip kelima Rukun Negara iaitu kesopanan dan kesusilaan.

“Kita menyeru majoriti rakyat di negara ini yang membantah promosi aktiviti LGBT untuk turut menyuarakan bantahan mereka melalui media sosial atau medium bersesuaian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda PPBM Pulau Pinang, Muhd Shameer Mohd Sulaiman turut menyuarakan pandangan sama berhubung aktiviti LGBT, selain menyifatkannya sebagai suatu tindakan di luar norma.

Disiarkan pada: August 9, 2018 @ 8:38pm
d